|
|
|

About Us
Pengenalan
PENDAMAI atau juga dikenali sebagai ALUMNI adalah satu persatuan bekas-bekas penagih dadah yang telah ditubuhkan pada bulan September 2002 yang telah dirasmikan pelancarannya oleh yang berhormat Dato’ Noh Omar, Timbalan Menteri Keselamatan dalam negeri bertempat di Dataran Shah Alam yang telah dihadiri sama oleh Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan,AADK bersama seluruh pegawai dan kakitangannya serta dihadiri lebih dari 3000 ahli PENDAMAI. Dalam masa yang singkat, PENDAMAI hari ini telah diterima sebagai satu badan NGO yang mampu memberi sumbangan dalam masalah dadah di negara ini. Kini PENDAMAI telah ditubuhkan di semua negeri dan kini dalam proses untuk menubuhkan Kelompok Sokong Bantu ke peringkat daerah-daerah (dengan sokongan dan kerjasama AADK).
Keahlian ALUMNI
Terbuka kepada semua bekas penagih dadah yang berumur 18 tahun ke atas dan warganegara Malaysia.
Sejarah
Persatuan ALUMNI Agensi Antidadah Kebangsaan atau lebih dikenali dengan nama singkatannya, PENDAMAI telah diasaskan oleh Mohd Heffney Abd Rahim dan rakan-rakannya. Beliau dilahirkan pada 24 Jun 1954 di Ampang, Kuala Lumpur.Sebagai seorang bekas penagih yang telah membebaskan diri dari dadah selama 28 tahun dari tahun 1979 sehingga 2007, dalam tempoh pemulihan dan penyusunan semula kehidupan, beliau telah berkecimpung selama 24 tahun dalam usaha membantu rakan-rakan senasib beliau. Oleh kerana kegigihan dan kesungguhan, beliau bukan sahaja berjaya dalam pembangunan dirinya malah kerja kebajikan beliau telah mendapat pengiktirafan pelbagai pihak pada hari ini.
Dalam masyarakat, beliau pernah diberi kepercayaan untuk menjadi Ahli JKKK Kampung Pandan, Pengerusi Belia, Ketua UMNO Cawangan, Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian. Untuk menyara kehidupan, kini beliau adalah seorang ahli perniagaan.Setelah sekian lama berkecimpung dalam kerja-kerja membantu rakan-rakan senasib dalam konteks rawatan dan pemulihan, pada tahun 2001 beliau mula beralih kepada usaha untuk membimbing rakan-rakan yang telah pulih dalam konteks menyusun semula kehidupan. Maka, tertubuhlah Program Ikhtiar di Pulau Carey. Oleh kerana jelas hasil dan kejayaannya, Agensi Antidadah Kebangsaan, AADK telah mengiktiraf kaedah ini dan bersedia untuk mengembangkan modul Program Ikhtiar Pulau Carey ke seluruh negara.
Maka di situ titik permulaan gabungan beliau dan rakan-rakannya bersama AADK menubuhkan persatuan ini yang dinamakan PENDAMAI Malaysia. Oleh kerana pengalaman beliau pernah dididik menjadi pemimpin di dalam berpersatuan dan komuniti masyarakat, maka menubuh dan memimpin PENDAMAI sudah menjadi mudah untuk beliau. Dalam masa yang amat singkat, beliau telah berjaya mengumpulkan ramai bekas-bekas penagih yang berpotensi di dalam PENDAMAI untuk bersama-sama membantu rakan-rakan senasib yang lain. Hari ini, PENDAMAI telah ditubuhkan diseluruh negara dan telah diiktiraf peranannya sehingga PENDAMAI menjadi rakan kerja yang paling akrab dengan AADK dalam menangani masalah dadah di negara kita ini. Sebagai tambahan PENDAMAI juga diminta berperanan dalam kerja-kerja pencegahan serta berperanan menubuhkan kelompok-kelompok Sokong Bantu diantara bekas-bekas penagih diseluruh negara.
Sehingga hari ini,beliau amat disenangi oleh semua pihak kerana sikap rendah diri dan tidak suka menonjol. Beliau banyak berperanan di sebalik tabir sehingga beliau dikenali sebagai ‘The Man Behind Scene’ oleh sesetengah pihak. Kini beliau telah banyak menerima jemputan untuk memberikan ceramah-ceramah, ahli panel forum, dan membentang kertas-kertas kerja khususnya berkaitan masalah dadah. Beliau juga telah diiktiraf sebagai seorang motivator serta mempunyai kemahiran yang tinggi dalam kaunseling.
Sepatah jawapan mudah dari beliau ketika ditanya, kejayaan PENDAMAI tidak akan berjaya tanpa sokongan dari semua pihak khususnya AADK. Beliau berharap satu hari nanti penagih dadah dapat kembali hidup sebagai sebahagian daripada masyarakat dan berperanan membangunkan negara. Beliau menyatakan hasratnya begitu senang dengan kerja ini dan sudah menjadi sebati dalam hidupnya. Beliau akan mengambil kerja ini sebagai Jihad bagi menebus kesilapannya yang lama dan dalam masa yang sama untuk menebus harga dan maruah keluarganya yang sudah tercemar kerana perbuatannya yang dulu. ‘Saya akan buat kerja ini sampai mati !’, itulah kata-kata terakhir beliau yang menjadi titik noktah perjuangan beliau dan berharap pepatah ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’ menjadi sandaran semua ahli ALUMNI untuk bersama dengan PENDAMAI dan AADK membanteras gejala dadah di negara kita yang tercinta ini.
Peranan
- Menjadi Rakan Kerja kepada AADK dan agensi-agensi, NGO peringkat negeri dan antarabangsa
- Menjadi Rakan Kepulihan kepada semua bekas penagih dan penagih-penagih dadah
- Mewujudkan Kelompok Sokong Bantu secara merata di seluruh negara
- Mewujudkan ruang dan peluang pekerjaan serta perniagaan
|