|
|
|

Learning Centres - Keratan Akhbar 1
Utusan Malaysia
Peluang berubah - Buktikan diri berdikari
Terfikir juga saya bagaimana agaknya rupa Pulau Carey yang selalu saya dengar daripada kawan-kawan. Desakan untuk melihat sendiri pulau tersebut memuncak kala berpeluang meninjau kehidupan masyarakat bekas penagih yang berkampung di Rumah Khidmat Ikhtiar.
Melalui jalan tanah merah yang berdebu dan dipenuhi pokok kelapa sawit di kiri dan kanan menjadikan perjalanan sejauh lebih 80 kilometer terlalu lama dirasakan.
Hanya beberapa pekerja ladang dari rumah-rumah kongsi berdekatan kelihatan bekerja di ladang-ladang kelapa sawit berkenaan.
Kedatangan kami disambut mesra Pengasas Rumah Khidmat Ikhtiar, Mohd. Heffney Abd. Rahman dan Setiausaha Kerja PENDAMAI, Mohd. Rashid Bani.
Suasana ketika itu lengang kerana kerana kebanyakan daripada mereka masih bekerja. Menjelang tengah hari beberapa pekerja mula balik ke rumah masing-masing untuk makan tengah hari dengan menaiki lori. Selesai menjamu selera mereka bergerak beramai-ramai menunaikan solat zuhur secara berjemaah.
Kami dibawa melawat kawasan persekitaran sebelum dijamu dengan masakan kampung hasil masakan penghuni di situ yang ternyata amat sedap.
Melihat keadaan keliling hati terasa sebak, terasa kedamaian yang wujud di ladang ini. Kehijauan alam dan kesunyian menjadikan suasana di situ cukup tenteram.
Penduduknya pula peramah dan amat bersopan santun menghormati tetamu yang berkunjung.
Inilah kehidupan yang dilalui penghuni Rumah Khidmat Ikhtiar yang diilhamkan oleh Mohd. Heffney dengan sokongan daripada semua rakan-rakan bekas penagih khususnya daripada Agensi Dadah kebangsaan (ADK).
Rumah ini terletak di Ladang East, yang dimiliki oleh Golden Hope Plantation, Pulau Carey, Klang. Pihak pengurusan bermurah hati menyediakan sepuluh unit rumah, termasuk tiga buah rumah kelamin, surau, pejabat pentadbiran serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas aktiviti perladangan yang dijalankan di ladang-ladang kelapa sawit untuk kegunaan bekas-bekas penagih.
Rumah Khidmat Ikhtiar merupakan Program Perintis Program Pembimbing Rakan Sebaya (PPRS) yang diusahakan oleh bekas-bekas penagih dadah melalui Persatuan Alumni ADK (AADK) Malaysia atau PENDAMAI dengan kerjasama Golden Hope Plantation Berhad.
PENDAMAI merupakan persatuan yang berusaha dan bekerjasama dengan pihak AADK dalam membimbing rakan dan bekas-bekas penagih dadah yang keluar dari Pusat Serenti atau Pusat Pemulihan Swasta.
Peserta akan diajar secara praktikal dalam penyusunan semula kehidupan harian mereka berasaskan konsep normal life program atau cara kehidupan biasa kerana sewaktu di alam penagihan dadah, kehidupan penagih tidak tersusun atau terurus.
Objektif
Antara objektif program ini ialah untuk merancang, menyusun dan melaksanakan aktiviti kegiatan positif bagi memulihkan imej yang tercemar supaya lebih merasa dihargai dan diterima sebagai individu di mata masyarakat.
Selain itu, ia memberi peluang untuk mendapatkan saluran pendapatan dalam pelbagai bidang berunsurkan perladangan dan perkhidmatan bagi membina kehidupan yang lebih sempurna.
Ia juga bertujuan memberi kefahaman tentang interaksi sosial secara bersemuka dan perlaksanaan tanggungjawab dalam penyelesaian punca-punca masalah.
Rumah Khidmat Ikhtiar juga bermatlamat membebaskan diri penghuni daripada rangsangan dadah menerusi daya ketahanan mental dan psikologikal.
Penghuni juga diberi peluang untuk berubah dengan membuktikan diri boleh berdikari serta diberi kepercayaan dan peluang untuk bersama masyarakat luar dan pemulihan kerohanian dengan membabitkan keagamaan sebagai teras dan terapi pemulihan.
Bagi mencapai objektif dan matlamat Rumah Khidmat Ikhtiar, beberapa kaedah terapi perlu diikuti oleh bekas-bekas pengguna dadah iaitu penggunaan terapi kerja yang mana bekas pengguna dadah diberi peluang bekerja untuk mendapatkan kemahiran dan latihan dalam mencari sumber kewangan untuk menyara kehidupan mereka.
Dalam pada itu, terapi keluarga digunakan untuk memupuk semangat bekerjasama dan saling bantu membantu di kalangan bekas-bekas pengguna dadah seperti sebuah keluarga yang saling memerlukan di antara satu sama lain. Di sini para penghuni terikat dengan peraturan seperti mengelakkan dadah dan alkohol, tidak dibenarkan aktiviti seks terlarang, tidak dibenarkan mengugut, bergaduh dan mencuri selain mematuhi arahan-arahan lain.
[ Keratan Akhbar 1 / Keratan Akhbar 2 / Keratan Akhbar 3 ]
|