HOME
PENDAMAI
> About Us
> Administration
> AGM
> Learning Centres
> Location
> Search
> Contact Us
> News
MEMBERS
MANAGEMENT
RESEARCH
ACHIVEMENTS
PUBLICATIONS
SERVICES
COMMUNITY
BUSINESS
 


 Learning Centres - Keratan Akhbar 2

Utusan Malaysia

 Bukan glamor - Hanya niat menebus dosa

MOHD. Heffney mengetuai sesi kaunseling di kalangan penghuni Rumah Khidmat Ikhtiar di Pulau Carey, Klang, Selangor.

Mukadimah

Belajar daripada kesilapan adalah tindakan yang patut dilakukan seorang manusia lebih-lebih lagi untuk mengembalikan mereka yang telah terlanjur ke pangkal jalan.

Atas dasar kemanusiaan dan menebus dosa yang telah di lakukan, Mohd. Heffney Abd. Rahman, 51, melahirkan Rumah Khidmat Ikhtiar di Golden Hope Plantation, Pulau Carey, Klang, Selangor.

Tujuan utama adalah untuk membantu bekas penagih yang baru keluar pusat serenti memulakan kehidupan baru dan mencari mencari pekerjaan buat mereka.

Secara peribadi, niatnya terdorong akibat kecewa melihat sistem pemulihan ke atas bekas-bekas penagih, yang menghadapi kegagalan sehingga mereka kembali mengambil dadah.

Empat bulan Mohd. Heffney menghabiskan masa seorang diri di ladang tersebut untuk mengkaji dari merancang pelbagai modul serta kaedah yang diperlukan bagi membina sebuah tempat khusus untuk bekas-bekas penagih.

Syukur impian yang dihajatkan itu akhirnya menjadi kenyataan. Program yang ditawarkan di rumah ini berasaskan cara kehidupan biasa bagi menukar sub-budaya penagih kepada budaya insan normal.

Kini, seramai 43 penghuni berumur antara 23 hingga 63 tahun menumpang teduh di sini. Mereka mempunyai pekerjaan, berkeluarga dan hidup sebagaimana insan lain.

Di ladang yang serba damai dan tenang ini, mereka tidak terlalu tertekan dan tiada wujud persaingan. Di sini tiada pilih kasih, mereka sama di antara satu sama lain jauh sekali masyarakat yang memusuhi dan menghina.

Wartawan Rosmah Dain dan Jurugambar Abdul Nazir Mohamed meninjau Program Rumah Khidmat Ikhtiar dan beramah mesra dengan penghuninya yang hidup dalam suasana harmoni dan penuh kekeluargaan dan bersih daripada dadah.

Mohd. Heffney boleh dihubungi menerusi Persatuan Alumni Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (PENDAMAI), Tingkat 2A, Bangunan Persekutuan, Jalan Sultan, 46200, Petaling Jaya atau talian 03-79546963/03-31030262 (Pulau Carey)/017-8821001.

``Aku buat program ini bukan sebab nak kejar glamor atau nak tonjolkan diri. Aku buat program ini atas niat untuk menebus dosa-dosa atas kesalahan aku dahulu menghancurkan masa depan anak-anak orang.

``Aku rasa bertanggungjawab kerana memisahkan antara anak dan ibu bapa, menghancur dan mengkucar-kacirkan rumah tangga orang.

``Sekurang-kurangnya sebelum aku mati dapat juga aku berbuat kebajikan dan terbayar juga dosa aku...'' katanya sayu.

Demikian luahan dan rintihan bekas pengedar dan penagih dadah, Heffney Abd. Rahman, 51, selaku Presiden PENDAMAI Malaysia yang merupakan Pengasas Program Rumah Khidmat Ikhtiar Pulau Carey, Klang, Selangor.

Pertemuan dengan keluarga membuka ruang buat Mohd. Heffney mengimbau kembali mula berjinak dengan najis dadah ketika berusia 12 tahun.

Sambil membahasakan dirinya sebagai aku sepanjang perbualan, Mohd. Heffney berkata, faktor persekitaran dan perbalahan keluarga menjadi punca dia terlibat dengan dadah.

``Keluarga hanya tahu aku terlibat dengan dadah pada usia 14. Pada ketika itu sudah terlambat, daripada menjadi penagih aku mula menjadi pengedar dadah. Aku selalu keluar masuk penjara, tetapi itu belum menyedarkan aku,'' katanya.

Berasal dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur, anak sulung daripada empat adik beradik ini tersedar daripada kesilapan yang dilakukan apabila salah seorang keluarga terdekat terlibat dengan dadah. Tidak lama selepas itu, salah seorang daripada rakan karibnya pula meninggal dunia akibat terlebih mengambil dadah berlebihan (overdose).

Mungkin takdir jadi penentu. Selepas kejadian itu Mohd. Heffney mula insaf. Sebelum terlanjur lebih jauh, beliau menemui seorang wanita yang dapat menerima dirinya.

``Aku berkahwin dengan isteriku setelah setahun lebih aku meninggalkan dadah. Pada mulanya keluarga mertua menentang perkahwinan kami. Perjalanan percintaan kami macam filem, banyak halangan. Tetapi jodoh kami kuat dan akhirnya kami berkahwin,'' katanya.

Dalam tempoh dua tahun selepas berhenti mengambil dadah, Mohd. Heffney tetap dipandang serong oleh masyarakat sekeliling.

Segala pergerakannya dipantau dan dicurigai. Persepsi masyarakat yang prejudis terhadap bekas penagih memberikan tamparan hebat kepada kehidupan Mohd. Heffney pada waktu itu.

Namun itu tidak melemahkan dirinya untuk kembali semula ke pangkuan masyarakat.``Aku harus jadi yang terbaik. Aku harus kuat diri untuk menjadi contoh yang terbaik kepada semua penagih dadah lain. Jika aku boleh buat, mereka juga boleh buat,'' katanya.

Mohd. Heffney membuktikan bahawa beliau boleh berjaya. Pernah menyandang gelaran sebagai Ketua UMNO Cawangan, Pengerusi Belia Kampung Pandan, Ketua Setiausaha Bahagian UMNO dan melakukan kerja-kerja Exco Kanan serta bertindak sebagai Timbalan Presiden Persatuan Pengasih. Pengalaman yang dikutip menjadikan Heffney mengambil keputusan mengasaskan rumah ini.

Hasil perkahwinan Heffney dianugerahkan enam cahaya mata yang mana dua daripadanya berada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), tiga di asrama penuh dan yang bongsu berumur lapan tahun.

Apa yang membahagiakan beliau ialah saat di mana masyarakat dan keluarga serta mertua menerima dirinya semula.

Bercerita mengenai program yang diasaskannya kata Heffney, antara lain penghuni perlu belajar memperbaiki hubungan mereka dengan Tuhan dan manusia menerusi sembahyang berjemaah dan mempelajari ilmu-ilmu agama di samping hadir bergaul mesra dalam aktiviti kemasyarakatan.

``Mereka perlu belajar bertanggungjawab pada diri sendiri tanpa mengharapkan bantuan keluarga atau orang lain dengan belajar bekerja sendiri untuk menampung kehidupan seharian.

``Mereka juga perlu menguruskan diri dalam semua aktiviti yang ditetapkan di dalam komuniti terutama menjaga kebersihan diri dari segi pakaian dan penjagaan kesihatan serta mematuhi peraturan,'' katanya.

Katanya, seseorang bekas penagih yang hendak memulakan kehidupan baru, mereka bukan sahaja perlukan kekuatan peribadi, bahkan bimbingan dan suasana persekitaran yang membina. Mereka perlu bekerja untuk meneruskan kehidupan dan pekerjaan di ladang adalah sesuai memandangkan di sini terdapat kemudahan asas yang lengkap.

Antara tugasan yang dilakukan oleh penghuni di sini ialah memotong dan menebas rumput, meracun rumput, memandu lori atau jentera berat dan mengendalikan bengkel elektrik.

``Mereka tidak boleh hidup dalam keadaan persaingan yang akan menyebabkan timbul tekanan dan akhirnya kembali kepada dadah semula.

``Dari satu segi, kita tidak mahu menganggu personaliti mereka. Di sini apa yang mereka ingin buat boleh mereka lakukan. Mereka bekerja, berkeluarga, menerima upah dan membina kehidupan di sini sebagaimana insan-insan biasa di luar sana. Mereka juga boleh tinggal di sini selama mana yang mereka mahu,'' katanya.

Dalam pada itu Mohd. Haffney menegaskan bukan semua bekas penagih layak berada di sini. Hanya mereka yang benar-benar bersedia untuk berubah dan insaf untuk kembali ke pangkal jalan dibenarkan berada di sini.

``Di sini kita tidak menjalankan sesi rawatan pemulihan, tetapi program pemulihan menerusi bimbingan rakan-rakan sebaya. Kepada penghuni baru, terdapat temuduga dan pemantauan secara berterusan selama beberapa bulan,'' katanya.

Beliau mengakui program seperti ini bukan jaminan penghuni tidak akan mengambil dadah semula, tetapi sebenarnya ia merupakan ukuran daripada ketahanan diri.

Sehubungan itu beliau berharap agar lebih banyak syarikat perladangan di seluruh negara dapat memainkan peranan seperti Golden Hope Plantation Berhad (Pengurus Kanan Ladang East, Golden Hope Plantation Berhad, Zahari Nusi) yang ternyata menerusi kaedah ini pasti dapat membantu beribu penagih dadah yang keluar dari Pusat Serenti menjalani kehidupan baru.

Syarikat perladangan di negara ini katanya, boleh memainkan peranan mereka untuk mem bantu bekas penagih kerana di tempat berkenaan pasti telah mempunyai kemudahan asas seperti rumah pekerja, klinik, sekolah dan pekerjaan.

``Daripada memberikan pekerjaan ladang kepada tenaga buruh asing, adalah lebih baik memberi peluang kepada bekas-bekas penagih bekerja di ladang-ladang mereka,'' katanya.

[ Keratan Akhbar 1 / Keratan Akhbar 2 / Keratan Akhbar 3 ]


Copyright 2007 To PENDAMAI Malaysia
Mithril Technology
Ground Floor Bangunan Persekutuan Jalan Sultan, Petaling Jaya , 46200 Selangor. Malaysia
Tel : 603-7968 3327 Fax : 603- 7968 3329
Best View with 1024 x 768 Pixel