HOME
MEMBERS
MANAGEMENT
RESEARCH
ACHIVEMENTS
PUBLICATIONS
SERVICES
> Photo Gallery
> IT in PENDAMAI
> E-Article
> Webmail
COMMUNITY
BUSINESS
 


 E-Article

Dadah, jenayah ancam institusi keluarga
08/02/2007
Oleh WAN MARZUKI WAN ALI UTUSAN,

GESAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini agar seluruh anggota masyarakat memperkasakan institusi kekeluargaan harus disahut dengan penuh muhasabah.

Tanpa kekuatan dan kesungguhan untuk membina komuniti terpenting ini, pasti usaha reformasikan bangsa akan gagal.

Menurut beliau, dadah dan jenayah masih menjadi dua musuh tegar yang sering mengancam kesejahteraan institusi kekeluargaan.

Justeru, setiap ahli keluarga perlu sentiasa peka dan sensitif terhadap tindak-tanduk anggota keluarga sendiri agar tidak sesekali membuka ruang kepada dua musuh tersebut menyelinap masuk dalam kehidupan berkeluarga.

Dadah adalah satu masalah sosial yang dihadapi pelbagai kaum. Selain kerajaan yang terus bertindak sebagai ejen pembendung dan pembasmi, peranan besar ibu bapa yang berfungsi sebagai tapak pembentukan peribadi dan sahsiah diri perlu lebih diperkasakan.

Kita kerap mendengar kisah anak-anak yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah adalah disebabkan perceraian ibu bapa, derita anak yang ketandusan kasih sayang keluarga di samping pengaruh rakan sebaya.

Sosial

Punahnya ikatan kekeluargaan telah menjadi penyumbang kepada tercetusnya banyak gejala sosial di kalangan anak muda. Justeru, peranan institusi kekeluargaan masih terus berada di puncaknya.

Dalam kes jenayah pula, pihak berkuasa bimbang dengan peningkatan kes jenayah yang kian gawat.

Menurut perangkaan, indeks jenayah kebangsaan meningkat 12.6 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2006 dengan sejumlah 170,481 kes dilaporkan berbanding hanya 151,444 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Mengikut pecahan, jenayah keganasan meningkat 18.01 peratus, harta benda naik 13.87 peratus dan jenayah komersial bertambah 17.98 peratus. Hanya jenayah narkotik mencatatkan penurunan sebanyak 8.07 peratus.

Seorang pakar pengkaji jenayah, baru-baru ini, menyatakan keyakinannya bahawa 40 hingga 50 peratus kes jenayah terutama ragut, yang secara purata 26 kes dilaporkan dalam sehari di seluruh negara, dilakukan golongan penagih.

Kejadian penagih membunuh ibu atau isteri kerana tidak diberikan duit untuk membeli dadah bukan lagi sesuatu yang mengejutkan. Nampaknya ia turut membayangkan gagalnya proses membina institusi kekeluargaan yang berkesan.

Kita cukup gusar dengan dua perkembangan tersebut.

Nampaknya kemewahan dan kemiskinan masih menjadi faktor menularnya insiden-insiden ngeri yang melibatkan dua musuh utama negara itu.

Kemewahan membuatkan anggota keluarga terus mengejar kebendaan tanpa mempedulikan silaturahim. Tekanan kemiskinan pula mengundang kepada timbulnya kes-kes kecurian dan peras ugut kerana tuntutan naluri.

 

Copyright 2007 To PENDAMAI Malaysia
Mithril Technology
Ground Floor Bangunan Persekutuan Jalan Sultan, Petaling Jaya , 46200 Selangor. Malaysia
Tel : 603-7968 3327 Fax : 603- 7968 3329
Best View with 1024 x 768 Pixel