HOME
MEMBERS
MANAGEMENT
RESEARCH
ACHIVEMENTS
PUBLICATIONS
SERVICES
> Photo Gallery
> IT in PENDAMAI
> E-Article
> Webmail
COMMUNITY
BUSINESS
 


 E-Article

Harga perangi dadah
11/07/2006
Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN (WARTAWAN UTUSAN) Utusan Malaysia,

SEBENARNYA sudah terlalu banyak usaha dilakukan untuk memerangi dadah. Ini termasuk menerusi penubuhan Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (2004), penubuhan Agensi Antidadah Kebangsaan atau AADK (1996), penubuhan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) (1976) dan Majlis Antidadah Kebangsaan sebelum itu.

Akta Dadah Berbahaya 1952 pula dipinda beberapa kali semata-mata mahu mengenakan hukuman berat kepada pesalah iaitu pengedar, pemilik dan penagih dadah. Antaranya ialah hukuman mati mandatori yang pernah dikritik hebat oleh pihak asing terutama selepas dua pengedar dadah Australia dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 1986.

Rentetan langkah penyelesaian bagi masalah nasional ini selama bertahun-tahun sekadar mengesahkan bagaimana ia terus menjadi ancaman kepada negara termasuk menjadi punca kepada penghakisan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Malah, usaha-usaha itu pula dibayangi dengan perdebatan, kontroversi berhubung persoalan keberkesanan agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin setempat, keluarga sehinggalah kepada komitmen individu dalam membendung gejala dadah.

Akhirnya, semuanya membawa kita kembali kepada persoalan pokok: Apakah langkah-langkah paling berkesan untuk menangani masalah penagihan dadah yang telah merosakkan hampir suku juta rakyat negara ini sekarang? Juga penting untuk kita menjawab persoalan patutkah kita membiarkan kira-kira 1.2 juta penagih dadah tadi terus bermaharajalela di persekitaran rakyat lain sedangkan kita tahu mereka sanggup melakukan apa saja kerana dadah? Dan, apakah kerajaan sudah benar-benar bersedia dan mempunyai jentera secukupnya untuk menangani masalah dadah supaya negara bebas dari gejala berkenaan pada tahun 2015? Perlu diingat bahawa kerajaan membelanjakan wang rakyat lebih RM200 juta setahun untuk memerangi dadah, separuh daripadanya bagi tujuan pemulihan di pusat-pusat serenti. Malangnya, perbelanjaan besar ini sekadar menyaksikan hanya 20 hingga 25 peratus daripada penagih-penagih ini dapat dipulihkan.

“Inilah masalahnya. Perbelanjaan ini bukan sedikit tetapi hasilnya cukup mendukacitakan, menunjukkan perang ke atas dadah bukan bergantung berapa (wang) yang kita ada tetapi komitmen dan kesungguhan semua pihak untuk membasminya.

“Adalah jelas, masih banyak yang perlu dilakukan,’' kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom Ahad dalam satu majlis di Kepala Batas, Pulau Pinang, sebelum ini.

Membahaskan isu ancaman dadah sesebuah negara, ia pastinya membawa kepada soal kitaran bagaimana ia mengancam secara berantai - bermula dari penyeludupan dan pengedaran, kemudian membawa kepada penyalahgunaan dan seterusnya penagihan dadah. Secara prinsip, puncanya masih sama dan tidak pernah berubah, tapi langkah penyelesaian nampaknya masih kurang berkesan. Justeru, sudah tiba masanya usaha memerangi dadah sebagai musuh utama negara perlu dilancarkan dengan pendekatan-pendekatan baru. Kita perlu mencari ‘senjata’ baru yang bukan sahaja bergantung kepada aspek moral dan kemanusiaan, tetapi mengambil kira kemestian untuk memusnahkan ‘sarang’ atau sumber dadah dalam jaringan masyarakat.

Ada cadangan supaya kerajaan memberi keutamaan dan meningkatkan peruntukan bagi penambahan pegawai dan anggota perisikan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebagai sebahagian langkah penting memerangi ancaman pengedaran dadah.

Penggemblengan pasukan perisikan mampu memberi impak kepada usaha mengelakkan Malaysia menjadi sasaran pengedaran dadah dari luar memandangkan pembolosan bahan itu menerusi pintu sempadan negara telah menyebabkan berlakunya kemasukan dadah secara berleluasa sejak dahulu lagi.

Keperluan memahami isu dadah secara global, Malaysia juga harus berwaspada supaya tidak dijadikan sasaran oleh sindiket antarabangsa sebagai pusat untuk mengeluarkan beberapa jenis dadah sintetik, Amphetamine Jenis Rangsangan (ATS) seperti syabu dan ekstasi yang dikatakan lebih berbahaya daripada heroin.

Apa yang membimbangkan, makmal memproses dan mengeluarkan dadah perangsang mudah diwujudkan di mana-mana sahaja dan ia sentiasa bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

Berkongsi kebimbangan sama, Ketua Pengarah AADK, Datuk Hamzah Abdullah tanpa berselindung mengakui, setakat ini Malaysia antara negara yang dikesan menjadi transit kepada sindiket berkenaan untuk menjalankan penyeludupan dadah ATS, antaranya menggunakan khidmat kurier.

“Dadah ATS cukup berbahaya kerana mereka yang mengambilnya sangat cenderung berkelakuan agresif manakala kesan jangka panjang boleh menyebabkan kerosakan kekal kepada otak,” katanya. Sekali lagi, komitmen pihak berkenaan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) ditagih untuk memikul tanggungjawab membendung gejala pengambilan dadah jenis baru ini tanpa hanya mementingkan soal keuntungan dengan membiarkan anak-anak muda menjadikan premis mereka sebagai ‘gudang’ pengedaran dan penagihan dadah berbahaya itu.

Selain tindakan mencegah di peringkat makro, tumpuan juga perlu diberi terhadap aspek strategi pemulihan para penagih. Penting untuk memahami bahawa jika kita berjaya menyediakan sistem pemulihan berkesan, dengan sendirinya jumlah penagih juga akan berkurangan. Industri pengedaran dadah juga boleh dilumpuhkan sepenuhnya apabila sudah tiada atau kurang permintaan.

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Rozmi Ismail berkata, pendekatan ‘ketenteraan’ yang lazim dikaitkan di pusat serenti perlu diubah kerana penagih sepatutnya dilayan sebagai orang yang ‘sakit’ bukannya penjenayah.

Beliau cuba memberi justifikasi bahawa, jika kita melihat penagih sebagai seorang penjenayah, tentunya program-program penguatkuasaan dan pemulihan akan berasaskan kepada program pemulihan penjenayah.

“Sebaliknya, dalam konteks pemulihan pula, jika penagih dianggap penjenayah, mereka mesti ditangkap kemudian dikurung, pergerakan terhad, dipaksa melakukan aktiviti dan dihalang bercampur dengan orang lain.

“Kita tahu bahawa aspek pencegahan seharusnya bermula dari dalam diri penagih atau mereka yang berpotensi menjadi penagih, tetapi (cara) bagaimana mereka dipulihkan juga mesti dijadikan faktor penting,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Jika pandangan ini dijadikan perkiraan, kerajaan perlu menyemak semula modul pemulihan penagih najis dadah di semua pusat serenti supaya ia tidak sekadar berfungsi sebagai ‘kilang’ yang menerima dan mengeluarkan bekas-bekas penagih kemudiannya membiarkan mereka menghadapi masa depan berseorangan.

 

Copyright 2007 To PENDAMAI Malaysia
Mithril Technology
Ground Floor Bangunan Persekutuan Jalan Sultan, Petaling Jaya , 46200 Selangor. Malaysia
Tel : 603-7968 3327 Fax : 603- 7968 3329
Best View with 1024 x 768 Pixel