|
|
|

E-Article
| Dibuat secara haram |
| 04/06/2006 |
| Harian Metro Harian Metro, |
SYABU, ecstasy dan pil kuda dihasilkan secara haram dan seperti dadah sintetik lain, kebanyakannya tergolong sebagai Amphetamine-Type Stimulants atau ringkasnya ATS kerana kandungan amphetamine di dalamnya. Amphetamine adalah perangsang fizikal dan mental yang sangat kuat.
Sejenis lagi bahan perangsang yang turut disalahgunakan bagi tujuan menghasilkan pil khayal ialah Methamphetamine. Bahan ini dilaporkan boleh menyebabkan ketagihan lebih kuat.
1 ECSTASY — Seperti pil ATS yang lain, ia menjadi pilihan kerana mampu memberi ‘tenaga berganda’ kepada sesiapa yang mengambilnya.
Pil ini juga menjadi pilihan utama pengunjung pusat hiburan yang ingin berkhayal untuk menari pada masa lama tanpa keletihan.
Muzik kuat, terutama irama ‘techno’, adalah pilihan kaki pil ini kerana mampu memberi kesan khayalan terbaik. Penagih pil ini dapat dilihat berdiri terlalu dekat dengan sistem bunyi di sesebuah pusat hiburan.
Antara pil ecstasy popular ialah Pink Lady, Playboy, Love Drug dan Apple. Namun, difahamkan pihak berkuasa mengenal pasti 99 jenis pil ecstasy di pasaran pada masa ini.
Pada sekitar 1990-an ia dijual antara RM5-RM10 sebiji, tetapi kini melambung sehingga RM35 hingga RM45 sebiji berikutan permintaan tinggi.
2 PIL KUDA — Pengambilan pil kuda atau turut dikenali sebagai pil WY pula lebih dikaitkan dengan peningkatan keupayaan melakukan hubungan seks dan menjadikan mangsa dalam keadaan hiperaktif.
Namun, pengambilan pil kuda boleh menyebabkan organ seks mangsa tidak berfungsi selepas diambil pada masa lama.
Dadah ini dikaitkan dengan mereka yang bekerja berat seperti nelayan dan buruh. Harganya paling rendah berbanding dadah ATS lain iaitu antara RM8 hingga RM10 sebiji.
3 SYABU — Syabu atau Ice pula menyebabkan penggunanya mampu menahan diri daripada tidur selama dua atau tiga hari, tetapi jika diambil berlebihan boleh memudaratkan hati dan paru-paru kerana kandungannya yang berbahaya.
Dadah berbentuk biji kristal ini dibuat di makmal haram menggunakan asid bateri atau bahan pencuci yang mengandungi asid seperti pencuci longkang sebagai gantian asid itu. Pengilang haram juga dilaporkan menggunakan logam berbahaya seperti lithium daripada bateri kamera/telefon.
Nama lain syabu ialah ‘speed’, ‘meth’, ‘chalk’, dan ‘china white’. Syabu gred satu yang berkualiti berwarna putih kristal, sementara syabu gred dua warna putih kemerahan dan gred tiga pula rendah kualitinya.
Syabu diambil untuk pesta liar, tari-menari, kelab malam atau disko, pusat karaoke dan tempat hiburan lain bagi menaikkan ‘mood’ seseorang dan daya ketahanan fizikal.
Bagaimanapun, pengguna syabu akan mengalami kesan buruk seperti mulut kering, peluh berlebihan, anak mata menjadi besar, menggeletar dan sakit kepala. Selepas kesan khayal, seseorang itu rasa gelisah, cepat marah, gementar, kebingungan, fikiran terganggu dan boleh menjadi ganas.
Pada dos tinggi, dadah itu menaikkan suhu badan ke tahap berbahaya, menyebabkan sawan dan akhirnya membawa maut. Dianggap dadah paling berbahaya sekarang terhadap kesihatan pengambilnya kerana memberi kesan kronik terhadap otak dan paru-paru dalam tempoh seawal enam bulan.
Namun, harganya tinggi iaitu bagi kuantiti untuk sekali penggunaan, antara RM50 hingga RM100. Bagi penagih tegar mereka perlu mengambil antara dua hingga empat jam. |
|